Langkau ke kandungan utama

Kreatif didik kanak-kanak dedahkan mengenai pembentukan Malaysia

Kreatif didik kanak-kanak dedahkan mengenai pembentukan Malaysia

كرياتيف ديديق كانق-كانق ددهكن مڠناءي ڤمبنتوقن مليسيا

KEPALA BATAS: Pusat pendidikan awal kanak-kanak turut berperanan penting dalam menerapkan penghayatan Hari Malaysia khususnya perasaan menghargai perbezaan dan keunikan tersendiri setiap negeri di negara ini.

كڤالا باتس: ڤوست ڤنديديقن اول كانق-كانق توروت برڤرانن ڤنتيڠ دالم منراڤكن ڤڠحياتن هاري مليسيا خصوصڽ ڤراسان مڠهرڬاي ڤربيذأن دان كاونيكن ترسنديري ستياڤ نڬري د نڬارا اين.

Pengasas Tadika Khalifah Intelek, Rohani Abdul Ghani, 59, berkata pihaknya sememangnya menekankan kepentingan dalam menyambut kedua-dua Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sejak dari awal lagi.

ڤڠاسس تاديك خليفه اينتليك، روحاني عبدالغني، 59، بركات ڤيهقڽ سميمڠڽ منكنكن كڤنتيڠن دالم مڽمبوت كدوا-دوا هاري كبڠسأن دان هاري مليسيا، سجق دري اول لاڬي.

Rohani berkata, usaha ini supaya kanak-kanak lebih memahami mengenai sejarah dan tujuan sambutan Hari Kebangsaan diadakan setiap tahun adalah bagi meraikan kemerdekaan negara, manakala sambutan Hari Malaysia bertujuan memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia apabila Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung pada 1963.

روحاني بركات، اوسها اين سوڤاي كانق-كانق لبيه ممهمي مڠناءي سجاره دان توجوان سمبوتن هاري كبڠسأن داداكن ستياڤ تاهون اداله باڬي مرءيقان كمرديكأن نڬارا، مانكالا سمبوتن هاري مليسيا برتوجوان ممڤرايڠتي اولڠ تاهون ڤنوبوهن مليسيا اڤابيلا تانه ملايو، سابه، سراوق دان سيڠاڤورا برڬابوڠ ڤد 1963.

"Pihak Tadika menyambut Hari Malaysia setiap tahun secara meriah kecuali ketika negara dilanda pandemik kerana kita mahu anak-anak meraikannya dan mengenali lebih mendalam Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya," katanya.

"ڤيهق تاديك مڽمبوت هاري مليسيا ستياڤ تاهون سچارا مرياه كچوالي كتيك نڬارا دلندا ڤندميق كران كيت ماهو انق-انق مرءيقانڽ دان مڠنالي لبيه مندالم مليسيا دان نڬري-نڬري د دالمڽ،" كاتڽ.

Namun menurut beliau, kaedah bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak perlu dititikberatkan dan dilakukan secara santai memandangkan topik yang diajar itu agak berat dan serius.

نامون منوروت بلياو، قاعده برسسواين دڠن ڤريڠكت عمور كانق-كانق ڤرلو دتيتيقبرتكن دان دلاكوكن سچارا سنتاي ممندڠكن توڤيق يڠ دأجر ايت اڬق برت دان سريوس.

"Kita perlu kreatif dengan mengambil pendekatan yang boleh menarik perhatian kanak-kanak iaitu dengan memperkenalkan permainan tradisional di setiap negeri, makanan atau kuih-muih yang berwarna-warni serta aktiviti mengenal dan mewarna 14 bendera negeri di Malaysia," katanya.

"كيت ڤرلو كرياتيف دڠن مڠمبيل ڤندكتن يڠ بوليه مناريق ڤرهاتين كانق-كانق ايايت دڠن ممڤركنلكن ڤرماءينن تراديسيونال د ستياڤ نڬري، ماكنن اتاو كويه-مويه يڠ برورنا-ورني سرتا اكتيۏيتي مڠنل دان مورنا 14 بنديرا نڬري د مليسيا،" كاتڽ.

Rohani berkata, pada 13 September ini, Tadikanya dengan kira-kira 200 murid akan bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia dan antara aktiviti yang dirancang termasuk acara 11 jenis permainan tradisional.

روحاني بركات، ڤد 13 سيڤتيمبر اين، تاديكڽ دڠن كيرا-كيرا 200 موريد اكن برسام-سام مرءيقان سمبوتن هاري مليسيا دان انتارا اكتيۏيتي يڠ درانچڠ ترماسوق اچارا 11 جنيس ڤرماءينن تراديسيونال.

"Sebenarnya permainan tradisional ini sangat bermanfaat untuk mereka, contohnya, permainan congkak secara tidak langsung mengajar mereka tentang ilmu matematik.

"سبنرڽ ڤرماءينن تراديسيونال اين ساڠت برمنفعة اونتوق مريك، چونتوهڽ، ڤرماءينن چوڠكق سچارا تيدق لڠسوڠ مڠاجر مريك تنتڠ علمو ماتماتيك.

"Kita berharap pengenalan terhadap permainan tradisional dan makanan yang unik dari negeri di Malaysia ini boleh mencetus teras ingatan kanak-kanak kerana kita tidak mahu budaya dan amalan tradisi ini pupus ditelan zaman," katanya. - Bernama

"كيت برهارڤ ڤڠنلن ترهادڤ ڤرماءينن تراديسيونال دان ماكنن يڠ اونيك دري نڬري د مليسيا اين بوليه منچتوس ترس ايڠتن كانق-كانق كران كيت تيدق ماهو بوديا دان عمالن تراديسي اين ڤوڤوس دتلن زمان،" كاتڽ. - برنام


Sumber: Kreatif didik kanak-kanak dedahkan mengenai pembentukan Malaysia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kenali Presiden Volodymyr Zelensky

  Kenali Presiden Volodymyr Zelensky كنالي ڤريسيدن ۏولوديماير زيلينسكاي KYIV: Sehingga pemilihan mengejutnya pada 2019, Volodymyr Zelensky memainkan watak sebagai presiden di televisyen. قييۏ: سهيڠڬ ڤميليهن مڠجوتڽ ڤد 2019، ۏولوديماير زيلينسكاي مماءينكن واتق سباڬاي ڤريسيدن د تيليۏيشين.

FamilyMart henti jual minuman alkohol sejak Mac

FamilyMart henti jual minuman alkohol sejak Mac فاميليمرت هنتي جوال مينومن الكحول سجق مچ SHAH ALAM – FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 kedainya bagi memberikan keyakinan tambahan kepada para pelanggannya. شه عالم – فاميليمرت مليسيا تله مڠهنتيكن ڤنجوالن مينومن الكحول د سموا 360 كدايڽ باڬي ممبريكن كيقينن تمبهن كڤد ڤارا ڤلڠڬنڽ.